Wednesday, 21 March 2012

Malaysia tetap terima amah Indonesia April ini


Malaysia tetap terima amah Indonesia April ini

KUALA LUMPUR 19 Mac - Malaysia tetap menerima kemasukan pembantu rumah Indonesia pada April ini mengikut perjanjian persefahaman yang dipersetujui kedua-dua negara sebelum ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, sama ada bersedia atau tidak, terpulang kepada Indonesia untuk mematuhi perjanjian tersebut.
''Dari awal perbincangan hingga perkara ini ditangani dan dipersetujui, pendirian kita tetap sama.
''Sekarang, terpulang kepada Indonesia untuk menghormati apa yang telah ditandatangani," katanya selepas melancarkan Garis Panduan Praktikal Kerja Selamat untuk Profesional Media di sini hari ini.
Isu itu timbul apabila Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman baru-baru ini menyatakan amah dari negara itu perlu dibayar gaji minimum RM700 untuk melakukan satu tugas khusus selain bayaran RM27 sehari jika bekerja pada hari rehat.
Indonesia melaksanakan pembekuan sementara amah pada 26 Jun, 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.
Pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.
Ditanya adakah perkara itu timbul disebabkan salah faham atau kekeliruan berkaitan bahasa, Subramaniam berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku.
Namun, katanya, Malaysia tetap dengan pendirian awal untuk mematuhi apa yang dipersetujui oleh kedua-dua negara.
''Kita tahu, kemasukan pembantu rumah ke negara ini akan dilakukan pada April, sama ada Indonesia bersedia atau tidak atau mahu tunda, itu terpulang kepada negara itu.
''Apa yang pasti, kita sudah bersedia untuk melaksanakan syarat dan persetujuan yang dicapai sebelum ini," katanya.

credit: utusan malaysia 


i think i would do this for my new assignment....
but this story not best enough.....
*sigh

No comments:

Post a Comment